Pergi ke kandungan

Wangsa Safawiyah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sejarah Iran
sunting
Empayar Safavid pada tahun 1512.

Safawiyah (Parsi: صفویان, Safawian) adalah dinasti Iran[1][2][3] yang memerintah dari tahun 1501 hingga 1736. Ketika era inilah agama Islam Syiah menjadi agama rasmi Iran (sehingga ke hari ini.) Safawi berjaya menyatukan seluruh kawasan-kawasan bekas Empayar Parsi sekaligus membentuk semula identiti bangsa Parsi. Era ini juga menyaksikan Iran memasuki dunia moden.

Asal-Usul Wangsa Safawi

[sunting | sunting sumber]

Wangsa Safawiyah bermula daripada gerakan Sufi di kawasan Azerbaijan yang digelar Safawiyeh. Pengasas gerakan Sufi ini ialah Sheikh Safi Al-Din[3] (12521334).

Bendera Wangsa Safawiyah.

Sheikh Safī al-Dīn Abdul Fath Is'haq Ardabilī berasal dari Ardabil[4], sebuah bandar di wilayah Iran Azerbaijan. Beliau merupakan anak murid seorang imam Sufi iaitu Sheikh Zahed Gilani (12161301, dari Lahijan.) Safi Al-Din kemudiannya menukar Ajaran Sufi ini kepada Ajaran Safawiyeh sebagai tindak balas kepada pencerobohan tentera Mongol di wilayah Azerbaijan. Pada kurun ke 15, Safawiyeh mula meluaskan pengaruh dan kuasanyanya dalam bidang politik dan ketenteraan ke seluruh Iran dan berjaya menawan seluruh Iran dari pemerintahan kerajaan Timurid. Penyatuan Iran juga turut dikenali sebagai gerakan Islam Shia.

Dataran Naghsh-i Jahan, di Isfahan adalah bukti kegemilangan Safavid.

Tidak benar kalau dikatakan bahawa Syi'ahisme merupakan agama negara Iran sejak awal perkembangan Islam, sebagaimana yang sering dipercayai orang. Sampai abad keenam Masihi, sebahagian besar orang Syi'ah tidak menggunakan bahasa Parsi atau hidup di Iran; dan sebahagian besar orang Iran menganut aliran Sunnah. Pada tahun 1501 Dinasti Safavid berkuasa dan menjadikan Syiah Imam Dua Belas sebagai agama rasmi negara itu.[5]

Ketika abad ke 15, Empayar Turki Uthmaniyah berkembang hingga ke Anatolia dan mula memasuki kawasan orang Parsi. Sebagai tindak balas, pengikut Safawiyeh dari Ardabil menawan Tabriz dari Turki dibawah pimpinan Alwand. Safawiyeh kemudiannya dipimpin oleh Ismail I dan dibawah pemerintahan beliau, Tabriz menjadi ibu kota dinasti Safawiyah dan beliau sendiri menggelarkan dirinya sebagai Shah Azerbaijan. Kemudiannya Ismail I mara ke barat laut Iran dan menawan kesemua wilayah Iran daripada pegangan Turki. Pada tahun 1511 pula, tentera Uzbek berjaya dihalau keluar dari Iran (dimana kemudiannya mereka menawan Samarkand dan menjadikannya ibu negara Uzbek.) Ketika zaman Ismail I, bahasa rasmi Iran ialah Bahasa Azeri.

Isma'il I, Shah Safavid Iran yang pertama, adalah orang yang biasa berbicara dalam bahasa Turki dan mendirikan ibu kotanya di Tabriz, di Azerbaijan. Tetapi, sebagaimana para pendahulunya yang lain, dia mempercayakan pentadbirannya kepada pada birokrat berbahasa Parsi. Dia dan para pewarisnya mendatangkan ahli-ahli agama Syi'ah dari negara-negara Arab (terutama dari daerah yang kini disebut Lubnan Selatan[6] dan dari Bahrain) untuk mengindokrinasi orang-orang Iran; dan Isma'il tidak hanya memerintahkan agar khutbah Jumaat diberikan atas nama Imam Dua Belas tetapi juga agar para khatib secara terbuka mengutuk tiga khalifah Sunni pertama (Abu Bakar, Umar dan Usman), yang telah merebut tempat Ali yang lebih berhak.[7] Penganut ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah telah memeluk ajaran Syiah untuk mengelak daripada dibunuh dan diseksa.[8] Ismail I melakukan kempen yang bersemangat untuk mengubah populasi Iran yang selama ini Sunni yang dominan menjadi Syi'ah. Ulama Sunni melarikan diri atau dibunuh.[9] Selama dua ratus tahun terjadilah perang, terkadang dingin tetapi sering juga panas antara Kesultanan Uthmaniyyah yang Sunni dan Kekasaran Safavid yang Syi'ah. Perbatasan negara bergerak maju-mundur, bergantung kepada kesudahan perang.[10]

Pada zaman kemuncaknya, empayar Dinasti Safavid yang bebas daripada pengaruh pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul telah berkembang pesat yang mana sempadan dinastinya mencakupi sempadan yang luas, iaitu sehingga ke Georgia di sebelah Utara, Pakistan di sebelah Timur, dan ke bahagian Baratnya pula adalah Iraq.[11] Selepas Ismail I, yang mengasaskan Safavid ketika beliau berumur 14 tahun, yang kemudian berakhir dengan kekalahannya dibantai oleh Uthmaniyyah, era Safavid seterusnya diteruskan oleh anak lelaki Ismail I iaitu Shah Tahmasp. Beliau memiliki ahli strategi ketenteraan untuk menahan lima serangan Uzbeg dari Khurasan dan lima serangan Uthmaniyyah dari Azerbaijan. Cucu Tahmasp kemudiannya iaitu Shah Abbas yang Agung (1588-1629), naik takhta ketika berumur 17 tahun dan membawa Safavid ke puncak kejayaannya. Menjelang 1606, beliau berjaya mengalahkan tentera Uzbeg dan Uthmaniyyah dengan meyakinkan. Keberhasilan Shah Abbas tidak terbatas di bidang ketenteraan dan politik. Kedamaian dibawa ke pedalaman, seni dan industri - terutama pembuatan permaidani dan sutera - berkembang. Duta besar dan pedagang memenuhi istana Shah Abbas. Seperti Akbar di India, yang membangun ibu kota baru di Fatehpur Zikri, Shah Abbas membangun ibu kotanya di Isfahan. Kota ini melambangkan kekayaan dan keberhasilan artistik Dinasti Safavid. Beliau dibantu oleh Syeikh Bahauddin Muhammad Amali, seorang ahli teologi, ahli falsafah, astronom, dan penyair. Isfahan menjadi salah sebuah kota terindah di dunia dan salah sebuah yang terbesar pada zamannya yang dihuni sekitar satu juta penduduk. Kota ini memiliki 162 masjid, 48 madrasah, 1801 penginapan dan 273 pemandian umum. Air, pohon-pohon dan taman mempesona mata. "Dari arah mana pun seseorang memandang, kota ini terlihat seperti pepohonan", kagum pengunjung Perancis.[12]

Umumnya abad ke-17 dan 18, Dinasti Safavid dikuasai oleh pemerintahan empat Shah yang pemabuk (turut dicatat oleh Hamka dalam bukunya Sejarah Umat Islam), yang juga mengaku sebagai bayangan Tuhan di bumi. Tetapi itu bukanlah muncul tanpa bantahan dari ulama Syi'ah sendiri.[13] Menjelang abad ke-18, ulama Syi'ah mula menentang teori hak Ilahi raja, konsep Shah sebagai Imam yang berinkarnasi, bayangan Tuhan, zillullahu fil ardh. Mullah Ahmad Ardabili menentang Shah Abbas dengan tesis bahawa dia tidak memerintah dengan hak Ilahi namun kepercayaan yang diberikan atas nama Imam. Ulamalah, Ahmad Ardabili mengingatkan, memutuskan apakah kepercayaan tersebut dihormati atau tidak. Kemudian ulama dengan tegas menyatakan bahawa Imam haruslah seorang mujtahid yang cerdas, berpengetahuan dan tidak tercela. Ulama mula meminta hak kontrol atas negara Syi'ah yang didirikan oleh Dinasti Safavid. Pada akhir abad ke-17, Muhammad Majlis berhasil menentang Shah dan memberlakukan Syi'ah di dalam istana. Beratus-ratus dari ribuan botol anggur di gudang istana dihancurkan. Di bawah Majlis kekuasaan ulama mencapai puncaknya. Majlisi menjadi Syeikh al-Islam di Isfahan pada tahun 1687 dan Mullabasyi -pemimpin mullah-pada tahun 1694, bersamaan dengan tahun mulanya pemerintahan Shah Sultan-Husain. Meskipun pada akhirnya jadi pemabuk bermoral bejat, Sultan-Husain pada mulanya adalah seorang yang saleh, yang menghormati para Syeikh. Majlisi diakui sebagai cendekiawan Syi'ah terkemuka di zamannya. Beliau menulis lebih dari 60 buku. Dia menguatkan kempen melawan Sunni dan Sufi dengan mengusir mereka dari Isfahan. Meskipun tidak bersikap toleransi dan lemah lembut, ideal Majlisi tidak lain adalah Nabi: Bahar al-Anwar, yang dianggap sebagai magnum opusnya, adalah koleksi ensiklopedia hadith.[14]

Kegemilangan Dinasti Safavid mula menurun ketika abad ke 17. Dinasti Safavid sewaktu kejatuhannya terpaksa berhadapan dengan pengaruh Khalifah Uthmaniyyah di sebelah Barat, orang-orang Uzbek di sebelah Utara, dan pengaruh orang-orang Mongol di sebelah Timur.[15] Raja-raja pada era pengakhiran Safavid pula semakin lama menjadi semakin tidak efisien dan hidup berfoya foya. Iran pula sentiasa diserang oleh tentera Turki Uthmaniyah, Afghani dan Arab. Pada tahun 1698, Kerman berjaya ditawan puak Balochi dan Khorasan pula jatuh ke tangan Afghani pada tahun 1717. Selain itu, Safawiyah turut berhadapan dengan ancaman baru iaitu kemaraan Empayar Rusia di sebelah utara serangan tentera Mughal di sebelah timur. Turut memburukkan keadaan, ekonomi Safawiyah merosot akibat perubahan jalan perdagangan antara timur dan barat, dimana Jalan Sutera tidak lagi digunakan.

Pada tahun 1760 Karim Khan, seorang general tentera mengambil alih kuasa sekaligus menamatkan pemerintahan Safawiyah di Iran dan menubuhkan Dinasti Zand

Rujukan dan Nota Kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Roger M. Savory, Encyclopaedia of Islam, "Safawids", Edisi internet, 2005
  2. ^ Roger M. Savory, "The consolidation of Safawid power in Persia", in Isl., 1965
  3. ^ a b Meyers Konversations-Lexikon, Edisi XII, muka surat 873, edisi awal: " Persien (Geschichte des neupersischen Reichs)", (LINK)
  4. ^ Matthee, Rudi (13 June 2017). "Safavid Dynasty". Encyclopadia Iranica.
  5. ^ Mortimer, Edward (1984). Islam dan Kekuasaan. Bandung: Mizan. m/s. 280.
  6. ^ Loveday, Helen (2010). IRAN Persia: Ancient & Modern. Hong Kong: Odyssey. m/s. 178.
  7. ^ Bahkan bukan sahaja mencerca, tetapi juga kemasukan Syi'ah Imam Dua Belas ke Iran ialah melalui jalan pemaksaan (coercion). But the modern configuration of Shi'ism owes far more to a sixteenth century development: the determination of the Safavid dynasty to impose Twelver Shi'ism as the religion of state in predominantly Sunni Iran. Emerging from Azerbaijan with a syncretic combination of Sufism and Shi'ism, the Safavids in power enticed Shi'i men of religion from their redoubts in Syria and Iraq to fashion a state orthodoxy for the New dynasty. The transformation of Iran into the bastion of Twelver Shi'i Islam was accomplished by persuasion and coercion... (Dalam Introduction, ms 3, Martin Kramer pada buku Shi'ism, Resistance and Revolution terbitan Westview Press dan Mansell Publishing Limited)
  8. ^ Tumin, Makmor (2024). Aqidah & Falsafah Politik Siri 5: Pendidikan Islam (At-Tusi, Al-Majlis dan Khatami). Selangor: Firdaus Press. m/s. 46.
  9. ^ S. Ahmed, Akbar (1990). Membedah Islam. Bandung: Penerbit Pustaka. m/s. 110–111.
  10. ^ Mortimer, Edward (1984). Islam dan Kekuasaan. Bandung: Mizan. m/s. 280–281.
  11. ^ Tumin, Makmor (2024). Aqidah & Falsafah Politik Siri 5: Pendidikan Islam (At-Tusi, Al-Majlis dan Khatami). Selangor: Firdaus Press. m/s. 37.
  12. ^ S. Ahmed, Akbar (1990). Membedah Islam. Bandung: Penerbit Pustaka. m/s. 111.
  13. ^ Mortimer, Edward (1984). Islam dan Kekuasaan. Bandung: Mizan. m/s. 281.
  14. ^ S. Ahmed, Akbar (1990). Membedah Islam. Bandung: Penerbit Pustaka. m/s. 112–113.
  15. ^ Tumin, Makmor (2024). Aqidah & Falsafah Politik Siri 5: Pendidikan Islam (At-Tusi, Al-Majlis dan Khatami). Selangor: Firdaus Press. m/s. 60.

Pautan Luar

[sunting | sunting sumber]